ALLAH


~ Selamat Mengunjungi Blog Antologi Puisi Tradisional Seuntai Kasih Secebis Harapan ~

29/09/11

Seuntai Kasih Secebis Harapan : Pantun Empat Kerat



PANTUN EMPAT KERAT - NASIHAT


Ada Kolam Ada Masjid,
Tempat Orang Sembahyang Raya,
Tengah Malam Bulan Terbit,
Bintang Sebiji Membawa Cahaya.

Air Surut Memungut Bayam,
Sayur Diisi Didalam Kantung,
Jangan Ikut Resmi Ayam,
Bertelur Sebiji Riuh Sekampung.


Alang-Alang Menjeruk asam,
Biar Lebih, Kurang Jangan,
Alang-Alang Menyeluk Pekasam, 
Biar Sampai Ke Pangkal Lengan.

Ambil Golok Diatas Puan,
Hendak Berakit Ke Kuala Kedah,
Usah Dijolok Sarang Tebuan,
Badan Sakit Sesal Tak Sudah.

Anak Indung Anak Ketitir,
Anak Merbah Terlompat-Lompat,
Yang Dikendong Habis Tercicir,
Yang Dikejar Haram Tak Dapat.



HARUN MAT PIAH (PENYELENGGARA)
PUISI MELAYU TRADISIONAL : NASIHAT DAN PENGAJARAN (2004)

________________________

TEMA

Pantun ini bertemakan nasihat yang secara tidak langsung memberi pengajaran berguna kepada masyarakat dalam melakukan sesuatu perkara meliputi kehidupan seharian kita.


________________________



PERSOALAN

1. Nasihat : 

- Persoalan nasihat yang secara tidak langsung akan memberi pengajaran dalam mengharungi kehidupan.

2. Menghargai apa yang kita ada :

- Dalam kehidupan ini kita perlulah menghargai apa yang kita ada dan kita janganlah bersifat tamak kerana sifat tamak ini akan membawa kerugian.


________________________



BENTUK
  • Mempunyai lima rangkap dan setiap rangkap mempunyai empat baris.
  • Setiap baris mempunyai bilangan perkataan antara tiga hingga lima patah perkataan.
  • Bilangan suku kata dalam setiap antara lapan hingga 11 suku kata.
  • Rima akhir pantun ialah ab, ab.
________________________



GAYA BAHASA

1. Asonasi :
  • Pengulangan bunyi dan huruf vokal dalam baris yang sama secara berturut.
  • Contoh: Pengulangan huruf "a" dalam R1, B2:   Tempat orang sembahyang raya.

2. Aliterasi :
  • Pengulangan bunyi dan huruf konsonan dalam satu baris yang sama secara berturut.
  • Contoh : Pengulangan bunyi konsonan "n" dalam R3, B3 : 
    Alang-alang menyeluk pekasam.

3. Anafora :
  • Pengulangan sesuatu frasa atau kata pada permulaan ayat secara berturut.
  • Contoh : R5, B1, 2 : 
          • Anak indung anak ketitir
          • Anak merbah terlompat-lompat
________________________

NILAI DAN PENGAJARAN

1.Kita janganlah bersifat tamak kerana sifat tamak akan mendatangkan kerugian kepada diri kita sendiri.

2.Kita mestilah melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa jika melakukan sesuatu perkara tersebut.

3.Kita janganlah melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan bahaya kerana ia akan mendatangkan kesengsaraan kepada kita.

4. Kita janganlah menunjuk-nunjuk apabila melakukan sesuatu.