ALLAH


~ Selamat Mengunjungi Blog Antologi Puisi Tradisional Seuntai Kasih Secebis Harapan ~

29/09/11

Apa Itu Seloka?


SELOKA

Perkataan seloka berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu shloka. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu yang bermaksud berseloroh atau berjenaka sambil menyindir. 

Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama dengan perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabarata dan Ramayana merupakan antara buku terawal yang ditulis dalam bentuk seloka.

Justeru itu, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran yang memberi pengajaran dan teladan kepada pembaca. 

Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat iaitu empat baris serangkap dan dalam bentuk bebas, iaitu setiap baris menjadi isi seloka berkenaan.

CIRI-CIRI SELOKA
  • Karangan berangkap dan pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
  • Terbahagi kepada unit pembayang dan unit maksud.
  • Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk rangkap.
  • Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda.
  • Bertujuan untuk menyindir sambil mengajar.

Seuntai Kasih Secebis Harapan : Pantun Empat Kerat



PANTUN EMPAT KERAT - NASIHAT


Ada Kolam Ada Masjid,
Tempat Orang Sembahyang Raya,
Tengah Malam Bulan Terbit,
Bintang Sebiji Membawa Cahaya.

Air Surut Memungut Bayam,
Sayur Diisi Didalam Kantung,
Jangan Ikut Resmi Ayam,
Bertelur Sebiji Riuh Sekampung.


Alang-Alang Menjeruk asam,
Biar Lebih, Kurang Jangan,
Alang-Alang Menyeluk Pekasam, 
Biar Sampai Ke Pangkal Lengan.

Ambil Golok Diatas Puan,
Hendak Berakit Ke Kuala Kedah,
Usah Dijolok Sarang Tebuan,
Badan Sakit Sesal Tak Sudah.

Anak Indung Anak Ketitir,
Anak Merbah Terlompat-Lompat,
Yang Dikendong Habis Tercicir,
Yang Dikejar Haram Tak Dapat.



HARUN MAT PIAH (PENYELENGGARA)
PUISI MELAYU TRADISIONAL : NASIHAT DAN PENGAJARAN (2004)

________________________

TEMA

Pantun ini bertemakan nasihat yang secara tidak langsung memberi pengajaran berguna kepada masyarakat dalam melakukan sesuatu perkara meliputi kehidupan seharian kita.


________________________



PERSOALAN

1. Nasihat : 

- Persoalan nasihat yang secara tidak langsung akan memberi pengajaran dalam mengharungi kehidupan.

2. Menghargai apa yang kita ada :

- Dalam kehidupan ini kita perlulah menghargai apa yang kita ada dan kita janganlah bersifat tamak kerana sifat tamak ini akan membawa kerugian.


________________________



BENTUK
  • Mempunyai lima rangkap dan setiap rangkap mempunyai empat baris.
  • Setiap baris mempunyai bilangan perkataan antara tiga hingga lima patah perkataan.
  • Bilangan suku kata dalam setiap antara lapan hingga 11 suku kata.
  • Rima akhir pantun ialah ab, ab.
________________________



GAYA BAHASA

1. Asonasi :
  • Pengulangan bunyi dan huruf vokal dalam baris yang sama secara berturut.
  • Contoh: Pengulangan huruf "a" dalam R1, B2:   Tempat orang sembahyang raya.

2. Aliterasi :
  • Pengulangan bunyi dan huruf konsonan dalam satu baris yang sama secara berturut.
  • Contoh : Pengulangan bunyi konsonan "n" dalam R3, B3 : 
    Alang-alang menyeluk pekasam.

3. Anafora :
  • Pengulangan sesuatu frasa atau kata pada permulaan ayat secara berturut.
  • Contoh : R5, B1, 2 : 
          • Anak indung anak ketitir
          • Anak merbah terlompat-lompat
________________________

NILAI DAN PENGAJARAN

1.Kita janganlah bersifat tamak kerana sifat tamak akan mendatangkan kerugian kepada diri kita sendiri.

2.Kita mestilah melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa jika melakukan sesuatu perkara tersebut.

3.Kita janganlah melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan bahaya kerana ia akan mendatangkan kesengsaraan kepada kita.

4. Kita janganlah menunjuk-nunjuk apabila melakukan sesuatu. 


Apa Itu Pantun?



Pantun merupakan sejenis puisi Melayu tradisional. Bertujuan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan gembira, sedih, rindu, marah dan sebagainya. 

Perkataan pantun berasal dari kata toen, tuntun, tonton, tuntun, atuntun, matuntun, panton, pantun yang digunakan dalam pelbagai bahasa di Nusantara iaitu merujuk kepada ‘sesuatu pengucapan dengan bahasa yang teratur, tersusun dan indah atau peri laku yang terpimpin, terdidik, bersopan dan bertatasusila’ dalam kesusasteraan Melayu. 

 CIRI-CIRI PANTUN

  • Rangkap - Berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.
  • Baris atau kerat yang berpasangan - Contoh : dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat.
  • Jumlah perkataan dalam setiap baris - Tiga hingga lima patah perkataan.
  • Jumlah suku kata dalam setiap baris - Lapan hingga dua belas suku kata.
  • Skema rima di tengah atau di hujung baris adalah berjajar, iaitu ab;ab. Ada juga skema ringan yang sama iaitu aa;aa.
  • Stuktur pantun terdiri daripada pembayang (sebagai kiasan) dan maksud (sebagai inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud ialah gambaran sifat dan sikap manusia.
  • Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.
  • Penggunaan lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
  • Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dengan unit maksud.

Ciri-Ciri Puisi Tradisional

  • Memperlihatkan keindahan kata. Penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, serta menimbulkan kesan kepada pengalaman dan perasaan seseorang.
  • Bentuk yang berurutan dalam baris yang sejajar.
  • Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi oleh rentak, irama, muzik, keharmonian bunyi dan sebagainya.
  • Baris, rima dan irama disusun membentuk ikatan tertentu. Ianya dipengaruhi dengan jumlah baris, jumlah perkataan, keseimbangan bunyi dan panjang pendek perkataan.
  • Bersifat lisan dan disebarkan melalui tradisi lisan.
  • Bentuk dan struktur binaan yang terikat oleh aturan tertentu.
  • Sebagai pengajaran, nasihat, teguran, hiburan, keramaian, ritual, keagamaan dan sebagainya dalam kehidupan seharian masyarakat.
  • Mengandungi unsur perlambangan, imejan, kiasan dan perbandingan yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati.
  • Sebagai warisan yang melambangkan seni masyarakat Melayu.

Definisi Puisi Tradisional


Merupakan susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap atau bentuk pengucapan mengikut susunan tersendiri yang istimewa dan kreatif. Ianya berbeza dengan pengucapan biasa yang lazimnya digunakan dalam pertuturan sehari-hari serta bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika. 

Puisi tradisional juga dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat. Terdapat beberapa jenis puisi tradisional seperti:


  • Pantun
  • Seloka
  • Gurindam
  • Nazam
  • Syair
  • Mantera
  • Teromba 


_______________________________________________________




Bibliografi

Harun Mat Piah. (pngr.). 2004. Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran. dlm. Zahirudin Abdul Rahman (pnyt.). Seuntai Kasih Secebis Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ilias Zaidi. 1981. Kesusasteraan Melayu Moden Jilid 2: Puisi Dan Drama. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Md. Ali Bachik. 2003. Khazanah Puisi Klasik Melayu. dlm. Zahirudin Abdul Rahman (pnyt.). Seuntai Kasih Secebis Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahman Shaari. 2001. Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Siti Khariah Mohd. Zubair. 2011. Kupasan Teks Kesusasteraan Melayu Baharu. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

Zaharudin Abdul Rahman. 2009. Seuntai Kasih Secebis Harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.